MATU: Projek pembinaan bangunan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu yang telah tertangguh bertahun lamanya kini bakal menjadi kenyataan.
Projek itu dijangka akan mula dilaksanakan pada tahun depan dengan kos sebanyak RM78.2 Juta.
Kenaikan kos pembinaan daripada RM75 juta kepada RM78.2 juta telah diluluskan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU JPM).
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya, sebelum ini projek pembinaan sekolah tersebut tergendala ekoran beberapa kekangan seperti isu pencerobohan tanah dan pertukaran Kerajaan Persekutuan.
“Saya sangat gembira apabila menerima berita daripada Kementerian Pendidikan Malaysia yang mengatakan bajet untuk membina baharu SMK Matu yang cukup lama tertangguh sudah nampak cahaya di hujung terowong (sudah diluluskan).
“Mesyuarat kami semalam adalah berkaitan dengan pelaksanaan dan kita juga mengambil langkah yang cukup berhati-hati dengan turut menjemput pihak penceroboh di tanah yang diperuntukkan Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan bagi membina baharu bangunan SMK Matu, Untuk meminta mereka mengosongkan tempat tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita TVS pada hari ini.
Dr Juanda menjelaskan, tujuan itu bagi memastikan kerja-kerja pembinaan bangunan baharu sekolah SMK Matu berjalan lancar pada suku pertama tahun 2022.
“Kami juga dimaklumkan bahawa pembinaan ini merupakan fasa pertama kerana kalau kita melihat kepada lakaran cadangan projek yang berjumlah RM78.2 juta ini, tidak keseluruhan keperluan akan disediakan oleh ICU JPM. Kos naik daripada RM75 juta kepada RM78.2 juta. Alhamdulillah, sudah diluluskan oleh pihak ICU JPM,” jelasnya.
Bagaimanapun, bangunan lama SMK Matu yang telah dibina sekitar tahun 1971 akan terus digunakan sebagai kuarters guru dan keperluan lain yang berkaitan.
“Kita berharap supaya semua pihak memberi kerjasama untuk menjayakan pembinaan projek ini dan kita berharap agar projek ini berjalan lancar dan kita bersedia untuk membantu ejensi-ejensi persekutuan bagi menjayakan projek ini.
“Projek ini amat penting bagi menjamin dan meningkatkan keselesaan anak-anak di kawasan daerah Matu,” tambah Dr Juanda lagi.
Untuk rekod, tanah telah diserahkan kepada KPM pada tahun 2003 dan ini menunjukkan usaha ini sudah tertangguh selama 18 tahun.
Pencerobohan telah berlaku sejak tahun 2004 apabila pokok-pokok sawit ditanam secara haram di atas tanah milik kerajaan yang telah dikenalpasti bagi tujuan pembinaan bangunan baharu SMK Matu.
Tanah seluas 56 ekar terbabit sudah dibayar dan diserahkan kepada pihak Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (FLC) pada tahun 2003, dan 14 ekar akan digunakan terlebih dahulu untuk membina bangunan awal sekolah tersebut.