KUCHING, 4 Mei: Atlet yang bertanding pada temasya Special Olympics Sarawak boleh dipertimbangkan untuk mewakili wilayah ini pada Sukan Para SUKMA akan datang.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah bagaimanapun berkata, terdapat syarat yang perlu dipenuhi sebelum mereka dipilih bertanding mewakili Sarawak.
Menurutnya, Special Olympics dan Sukan Paralimpik merupakan dua kejohanan sukan berbeza yang dikhaskan untuk golongan orang kelainan upaya (OKU).
“Dari segi prinsip, Special Olympics memberi peluang dan ruang kepada atlet yang mempunyai masalah kecacatan intelek melibatkan diri dalam bidang sukan sama ada diperingkat bahagian, negeri atau antarabangsa.
“Untuk Para SUKMA, ada peluang untuk mereka dipilih namun ia bergantung kepada darjah kecerdasan (IQ),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Acara Trek dan Padang Special Olympics Sarawak 2025 di Stadium Negeri hari ini.
Fatimah menjelaskan, Special Olympics diadakan untuk memperkan golongan OKU yang menghidap kecacatan intelek menerusi penyertaan dalam sukan.
“Ini merupakan platform mencungkil bakat baharu atlet Special Olympics untuk mewakili Sarawak dan negara,” ujarnya.
Hadir sama Presiden Special Olympics Cabang Kuching Datin Dayang Mariani Abang Zain, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak, Semawi Mohamad-TVS