Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Brunei akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab terhadap Maklumat (SOMRI) ke-22 dan mesyuarat berkaitan selama dua hari, bermula esok. Foto hiasan Envato

Brunei jadi tuan rumah mesyuarat ASEAN mengenai maklumat

ByBernama

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei: Brunei akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab terhadap Maklumat (SOMRI) ke-22 dan mesyuarat berkaitan selama dua hari, bermula esok.

Bertemakan MAJU-Media Advancing Joint Understanding: Transforming Media’s Role in Advancing Cooperation and Mutual Understanding in ASEAN, mesyuarat berkenaan akan diadakan di sebuah hotel di sini.

SOMRI ke-22 antara lain akan membincangkan dan menangani isu baharu muncul, seperti maklumat palsu, maklumat salah, keterangkuman digital dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) beretika serta transformasi digital.

Mesyuarat itu kemudian disusuli Persidangan Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab terhadap Maklumat (AMRI) ke-17 dan mesyuarat berkaitan dari 7 hingga 9 Mei di sini.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa akan mengetuai delegasi Malaysia bagi SOMRI manakala Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching memimpin delegasi negara ke AMRI.

Turut serta dalam delegasi Malaysia ialah Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan (Japen) Muhammad Najmi Mustapha dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Norhani Mohamad Adzhar.

Delegasi juga dianggotai Pengarah II (ASEAN dan Dua Hala) MCMC Fatin Nabiha Ab Aziz, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak serta pegawai kanan lain daripada Kementerian Komunikasi dan agensi.

Selain menteri dan pegawai kanan yang bertanggungjawab terhadap maklumat dari negara anggota ASEAN, mesyuarat itu juga melibatkan penyertaan ASEAN Campur Tiga, iaitu China, Jepun, dan Korea Selatan.

Di samping itu, menteri dan pegawai kanan terlibat serta pemimpin ASEAN Campur Tiga dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dijadualkan menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman pada 8 Mei. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan