KUCHING, 3 Mei : Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang James Ritchie.
Tun Wan Junaidi menyifatkan mendiang sebagai sahabat karib, wartawan dan penulis berpengalaman.
“Kami amat berdukacita atas pemergiannya yang tidak disangka. James seorang insan yang sangat baik. Saya akan sentiasa mengenang beliau — sebagai anak kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak ketika itu, sahabat dan juga rakan penulis buku saya,” katanya menerusi kenyataan rasmi, hari ini.
Beliau mengimbas kembali persahabatan mereka yang terjalin sejak zaman persekolahan di Sekolah Menengah St Thomas, Kuching dan menyatakan bahawa beliau pernah berkhidmat sebagai Aide-de-Camp (ADC) kepada ayah mendiang, Datuk Sri John Ritchie yang merupakan Pesuruhjaya Polis Sarawak pada tahun 1968.
Menurutnya, ketika berkhidmat dalam pasukan polis, beliau dilayan seperti anggota keluarga dan bukan sekadar seorang pegawai bawahan.
Hubungan baik antara mereka kekal akrab sehingga ke akhir hayat mendiang.
“Kami sebenarnya dijadualkan bertemu Isnin ini bagi meneliti perkembangan buku yang sedang ditulisnya tentang saya, namun Tuhan lebih mengetahui,” ujarnya.
Tun Wan Junaidi turut mengenang sifat pemurah dan berbudi bahasa mendiang.
“Beliau sentiasa penuh dengan kata-kata yang menyenangkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berharap keluarga mendiang tabah menghadapi kehilangan tersebut dan terus kuat meneruskan kehidupan dengan kenangan indah bersama insan tersayang. – TVS