KOTA SAMARAHAN, 3 Mei: Kawasan Batang Lupar dicadangkan sebagai lokasi pelaksaaan program Pusat Komuniti Desa (PKD) Bergerak Julai ini.
Memetik laporan Suara Sarawak, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, Saratok pula dipertimbangkan untuk penubuhan PKD Mini bagi memperluas perkhidmatan ke kawasan pedalaman Sarawak.
Menurutnya, cadangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kementeriannya dalam membawa perkhidmatan asas serta program kerajaan lebih dekat kepada komuniti luar bandar di Sarawak walaupun berdepan cabaran geografi negeri luas dan lokasi terpencil.
“Ketika ini, Sarawak hanya mempunyai enam PKD yang dikendalikan oleh seorang pengurus bagi setiap pusat. Walaupun bilangannya sedikit berbanding negeri lain, kewujudan PKD ini tetap memberi impak yang besar kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan PKD Bergerak Kota Samarahan yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di perkarangan Aiman Mall, hari ini.
Menurutnya, PKD Bergerak yang diperkenalkan pada tahun 2023 merupakan pendekatan strategik bagi menangani cabaran geografi tersebut dengan menyampaikan perkhidmatan dan sokongan kerajaan secara langsung kepada masyarakat setempat.
“Sejak dilancarkan, PKD Bergerak dilaksanakan di lapan lokasi dan menerima lebih 10,000 pengunjung, membuktikan pendekatan turun padang ini mendapat sambutan positif daripada masyarakat serta berjaya mengeratkan hubungan antara kerajaan dan komuniti desa,” ujarnya.
Tahun ini, Kota Samarahan menjadi lokasi pertama siri PKD Bergerak yang berlangsung dari 3 hingga 5 Mei.-TVS