LAWAS, 3 Mei: Pihak bomba membantu memindahkan lapan penghuni selepas kediaman mereka di Kampung Seberang Kedai Terusan di sini, dinaiki air akibat fenomena air pasang besar pagi tadi.
Komander Operasi, Awang Adani Damit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 10 pagi dengan menggerakkan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas ke lokasi kejadian.
“Bilik Kawalan Lawas telah menerima satu panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian banjir yang berlaku akibat fenomena air pasang besar.
“Air telah melimpah masuk ke dalam sebuah rumah setinggi kira-kira 1.5 kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan penyelamat telah digerakkan ke lokasi dan berjaya memindahkan seramai lapan orang mangsa dari rumah yang terjejas ke jalan raya berdekatan yang dikenal pasti sebagai kawasan selamat.
“Tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka memandangkan tren air sedang surut dan keadaan adalah terkawal,” ujarnya.-TVS