KUCHING, 3 Mei: Sukan Olimpik Khas Sarawak Edisi Ketujuh menjadi platform meraikan semangat, keberanian dan keunikan atlet istimewa.
Pembantu Jurulatih Trek dan Padang Kuching, Nur Sofia Nabila Rozlan berkata , temasya sukan tersebut bukan sekadar medan pertandingan, malah simbol sokongan dan pengiktirafan terhadap kemampuan luar biasa golongan berkeperluan khas dalam dunia sukan.
“Sebenarnya dalam Sukan Olimpik Khas, kita tidak pernah menetapkan sasaran kalah atau menang. Bagi kami, pengalaman itu lebih penting. Jurulatih, pengiring dan pegawai teknikal akan cuba sebaik mungkin untuk menyokong atlet.
“Ini termasuk ketika mereka mengalami cabaran emosi seperti tantrum. Kami cuba tenangkan mereka terlebih dahulu sebelum membenarkan mereka meneruskan acara,” katanya ketika ditemui pada Sukan Olimpik Khas Sarawak Edisi Ketujuh di Stadium Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, pendekatan mesra dan fleksibel amat penting dalam menguruskan atlet berkeperluan khas kerana keupayaan tumpuan mereka selalunya terhad dan boleh berubah-ubah bergantung kepada keadaan sekeliling.
“Kalau atlet lama, mereka sudah biasa dengan suasana pertandingan, mereka boleh menyesuaikan diri. Tetapi bagi atlet baharu, mungkin mereka akan lebih mudah berasa tidak selesa atau tertekan. Jadi kami akan cuba alihkan perhatian mereka dengan beberapa cara atau pendekatan lain,” ujarnya.
Sukan Olimpik Khas Sarawak Edisi Ketujuh yang dianjurkan Cawangan Olimpik Khas Kuching dari 2 hingga 5 Mei menampilkan seramai 356 atlet.
Acara kali ini melibatkan lima bahagian utama di bahagian Sarawak iaitu Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Kota Samarahan.
Tujuh jenis sukan yang dipertandingkan iaitu acara olahraga, bola sepak, renang, bocce, ping pong dan boling tenpin.-TVS