KUCHING, 10 SEPT: Masjid dan surau di Simunjan akan ditutup sementara kepada orang awam mulai 10 September sehingga diberitahu kelak.
Menurut kenyataan Majlis Islam Sarawak (MIS), masjid dan surau terlibat ialah Masjid Darul Hijrah dan Surau Taman Hijrah yang berhampiran dengan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Masjid dan surau seperti yang disenarai akan ditutup sementara kepada orang awam untuk semua aktiviti termasuk solat jumaat dan solat fardhu mulai 10 September ini sehingga PKPD ditamatkan serta kerja-kerja sanitasi selesai dilaksanakan.
“Ia juga berikutan masjid dan surau ini berhampiran dengan kawasan pelaksanaan PKPD di kariah berkenaan bagi mengelak risiko penularan wabak COVID-19,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Justeru kata kenyataan itu lagi, tiada sesiapapun dibenarkan memasuki masjid dan surau yang disenaraikan kecuali lima (5) orang Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau serta Pegawai Masjid dan Surau sahaja untuk melaksanakan azan dan solat fardhu.
Bagaimanapun, jawatankuasa yang terlibat perlulah dari golongan yang bukan kontak rapat serta tidak mempunyai gejala.
MIS dalam kenyataannya turut menekankan supaya jawatankuasa yang terlibat untuk mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan LEmbaga Fatwa Negeri Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana JPBN Sarawak , Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).