Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semasa melakukan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan laluan jalan raya bagi menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand di Bukit Kayu Hitam hari ini. Foto TVS

Jalan ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah–CIQ Sadao, Thailand dijangka siap lebih awal

ByTVS

BUKIT KAYU HITAM, 3 Mei: Projek pembinaan laluan jalan raya yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand dijangka siap lebih awal daripada jadual asal, iaitu pada September ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang dimulakan pada Jun tahun lalu kini telah mencapai hampir 50 peratus kemajuan.

“Pihak kontraktor memaklumkan kemungkinan projek dapat disiapkan lebih awal, dan itu satu berita baik. Jika benar, kita dapat menyiapkannya lebih awal daripada jadual (Ahead of Time – AOT), bukannya lanjutan masa (Extension of Time – EOT).

“Sehingga 29 April lalu, kemajuan projek telah mencapai 47 peratus. Walaupun sedikit ke belakang, beliau yakin ia akan kembali mengikut jadual kemajuan yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau tapak projek di ICQS Bukit Kayu Hitam.

Nanta turut memaklumkan bahawa projek bernilai kontrak asal RM141.58 juta ini melibatkan pembinaan jalan berkembar enam lorong dua hala mengikut piawaian JKR U5 sepanjang 900 meter (m).

“Ia juga melibatkan pembinaan jalan perkhidmatan piawaian JKR R5 sepanjang 300 meter ke Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Kayu Hitam.

“Turut terlibat ialah perobohan dan penggantian kepada bangunan baharu Kem Batalion ke-5 Rejimen Sempadan Bukit Kayu Hitam, yang membabitkan 10 blok bangunan, serta pembinaan pos kawalan akhir dan pintu gerbang berbumbung,” ujarnya.

Beliau menambah, projek di bawah konsesi Kementerian Dalam Negeri itu dibina bagi menyokong teras nilai Malaysia MADANI, khususnya dari segi kesejahteraan dan kemampanan.

Katanya, pembinaan ini bertujuan meningkatkan keterhubungan, mobiliti dan aksesibiliti rakyat di kawasan sempadan, selain memastikan jaringan jalan raya yang berkualiti, selamat dan selesa.

Untuk rekod, projek ini tercetus hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sempadan Malaysia–Thailand pada November 2023, atas jemputan rasmi Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.

Pembinaan di kawasan sempadan Malaysia dan Thailand turut dijangka mampu merancakkan kegiatan ekonomi di kedua-dua negara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan