KUCHING, 3 Mei: Seorang wanita warganegara asing berusia 40-an cedera selepas dilanggar sebuah kereta di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini pada malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kejadian jam 8.40 malam itu berlaku ketika seorang lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 30-an memandu kereta dari arah bulatan Batu 3 menuju ke Jalan Satok telah terlanggar mangsa yang melintas jalan menuju ke arah Podium.
“Akibat kemalangan ini, pejalan kaki mengalami kecederaan ringan di bahagian muka, tangan kiri dan kaki kiri sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapat rawatan.
“Pejalan kaki telah dibenarkan keluar pada jam 8 pagi Jumaat sebelum menerima rawatan susulan di hospital KPJ Kuching,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu,pihak polis menyeru agar mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Charlie Aloysius di talian 014-8682068 / 082-259900 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
“Pengguna jalan raya adalah dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu serta mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain agar selamat sampai ke destinasi,” ujarnya. – TVS