KUCHING, 2 Mei: Hospital Bintulu mencipta sejarah apabila menjadi hospital kerajaan pertama di Malaysia yang bukan pusat jantung namun berupaya melaksanakan prosedur angiogram bagi mengesan saluran arteri jantung tersumbat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kejayaan tersebut dicapai hasil kerjasama jabatan radiologi Hospital Bintulu yang bersetuju berkongsi kemudahan sedia ada termasuk menaik taraf bilik kateterisasi atau cath lab bagi tujuan pemeriksaan jantung.
Menurutnya, pasukan doktor dan jururawat dari Pusat Jantung Sarawak juga melakukan lawatan berkala ke Hospital Bintulu untuk menjalankan prosedur tersebut secara langsung.
“Kemudahan ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 200 pesakit setiap tahun yang sebelum ini perlu menempuh perjalanan lebih tujuh jam dengan kenderaan atau lebih sejam menaiki pesawat ke Kuching semata-mata untuk menjalani prosedur ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu perkongsian video di laman media sosialnya baru-baru ini.
Sementara itu, beliau menyatakan sokongan penuh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang merupakan Pengerusi Yayasan Jantung Sarawak juga merupakan faktor penting di sebalik inisiatif tersebut.
“Yayasan Jantung Sarawak di bawah pimpinan Pengerusinya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjaya mengumpul lebih RM2 juta melalui sumbangan sektor minyak dan gas, industri logam perlumbaan serta Pelabuhan Bintulu. Dana inilah yang digunakan untuk menaik taraf kemudahan cath lab agar prosedur angiogram jantung dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beberapa kementerian berkaitan memberikan kelulusan serta sokongan penuh bagi membolehkan perkhidmatan tersebut dimulakan. – TVS