MIRI, 2 Mei: Polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun selepas video memaparkan aksinya menunggang motosikal secara berbahaya di Jalan Miri Bypass tular di media sosial, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek ditahan sekitar jam 9.15 malam di Jalan Senadin susulan siasatan ke atas video berdurasi tujuh saat yang menunjukkan aksi berbahaya dilakukan lelaki berkenaan.
“Turut dirampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam aksi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM15,000, penjara maksimum lima tahun serta penggantungan lesen memandu tidak kurang dua tahun.
Mohd Farhan turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Miri di talian 085-433400 atau Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Mohd Faizul Ab. Rahim di talian 014-8582582.
Beliau turut menasihatkan penunggang motosikal agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan, mengubahsuai kenderaan, atau berkumpul di tepi jalan sehingga mengganggu ketenteraman awam dan melibatkan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Kecuaian pemandu atau penunggang kenderaan boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya. – TVS