PUTRAJAYA, 2 Mei: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), yang mula berkuat kuasa 1 Mei, dilakukan selepas mengambil kira pandangan majoriti pemegang taruh, iaitu pengguna dan fasiliti-fasiliti kesihatan swasta.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Dr. Azuana Ramli, mengakui terdapat beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut disebabkan kebimbangan terhadap cara penguatkuasaan dijalankan.
“Saya rasa itu kita (KKM) boleh tangani. Selain itu, mungkin ada isu-isu lain yang mereka risaukan. Namun, dalam sesi libat urus kementerian bersama mereka, ia jelas menunjukkan majoriti mahukan ketelusan harga ubatan,” katanya ketika menjawab soalan pemberita pada sesi sidang media di KKM di sini, hari ini.
Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.
Data yang dipaparkan oleh KKM menunjukkan sebahagian besar klinik perubatan swasta di negara ini, iaitu sebanyak 72.62 peratus, tidak bersetuju dengan pelaksanaan perintah tersebut.
Ia juga menunjukkan bahawa majoriti hospital swasta, iaitu sebanyak 58.82 peratus, turut menolak pelaksanaannya.
Pelaksanaan perintah tersebut sebelum ini turut mendapat tentangan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), yang merancang untuk mengadakan protes besar-besaran pada minggu depan.
Sementara itu, mengulas mengenai sama ada pesakit boleh menolak preskripsi ubatan daripada fasiliti kesihatan dan membelinya di farmasi, Dr. Azuana berkata tindakan itu bertentangan dengan akta sedia ada.
“Saya seorang ahli farmasi, tetapi saya perlu mengingatkan bahawa adalah penting untuk mendengar nasihat daripada doktor kerana merekalah yang memantau kesihatan anda dan mengetahui apa yang terbaik.
“Anda harus mendengar nasihat daripada profesional yang membantu anda. Harga adalah perkara kedua; yang utama ialah pemilihan ubatan yang sesuai dengan keadaan kesihatan pesakit,” katanya.
Dr. Azuana menjelaskan bahawa tindakan boleh diambil sekiranya terdapat mana-mana farmasi yang menjual ubatan tanpa preskripsi daripada pegawai perubatan.- TVS