Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Dr. Azuana Ramli pada satu sidang media hari ini. Foto Amiruddin Shah (TVS)

KPDN nafi dakwaan ugut keluar kompaun kepada klinik perubatan swasta

ByHafeezzur Muzamir

PUTRAJAYA, 2 Mei: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan bahawa pihaknya akan mengenakan kompaun terhadap sebuah klinik swasta yang dilaporkan tidak memaparkan harga ubat di premis tersebut.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pihaknya menolak dakwaan oleh pegawai perubatan klinik itu yang mendakwa pegawai KPDN memberi ugutan untuk mengenakan kompaun sekiranya tiada paparan tanda harga dibuat dalam tempoh tiga hari.

“Tiada sebarang notis atau tindakan saman dikeluarkan terhadap mana-mana pihak.

“Jadi, saya harap penjelasan ini dapat mengatasi kekeliruan yang timbul. Untuk langkah seterusnya, kami telah merangka satu aspek pemeriksaan yang akan dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa tiada sebarang bukti atau dokumentasi (kompaun) yang dikeluarkan oleh pegawai tersebut,” katanya dalam sidang media di KKM di sini, hari ini.

Pada Khamis, tular di media sosial mengenai ciapan seorang pegawai perubatan di sebuah klinik swasta yang mendakwa premisnya akan disaman dalam tempoh tiga hari kerana tidak memaparkan tanda harga ubat.

Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang mula berkuat kuasa 1 Mei.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Dr. Azuana Ramli berkata, penguatkuasaan yang telah bermula itu menyaksikan tempoh bertenang selama tiga bulan diberikan, dengan KKM dan KPDN memfokuskan kepada aspek advokasi pendidikan kepada premis-premis terlibat.

Dr. Azuana menjelaskan, pihaknya akan meneliti aspek kebolehlaksanaan selepas tempoh tersebut tamat, dan tidak menolak kemungkinan untuk memberikan tambahan waktu sekiranya diperlukan.

“Oleh itu, dalam tempoh tiga bulan ini, kami tidak berhasrat untuk mengenakan sebarang tindakan kerana ini merupakan fasa advokasi pendidikan atau tempoh bertenang.

“Perintah itu sudah berkuat kuasa, namun dari sudut amaran, denda, dan tindakan lain, itu belum lagi dilaksanakan, tetapi ia tetap akan dilaksanakan kerana ia sudah dikuat kuasa,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan