LONDON, 1 Mei: Sarawak mengambil satu lagi langkah besar dalam perjalanan ke arah masa depan mampan dengan memperkenalkan Sarawak Sustainability Blueprint 2030.
Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESTy) dalam kenyataannya memaklumkan bahawa ia merupakan perancangan strategik bagi memacu peralihan negeri ke arah ekonomi hijau.
Pelan induk yang telah disiapkan MEESTy itu menjadi tumpuan utama dalam sesi meja bulat berprofil tinggi yang berlangsung di London School of Economics and Political Science (LSE) pada Khamis.
Menurut kenyataan itu lagi, pelan induk ini bakal dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada penghujung Mei.
Ia merangkumi 10 teras strategik, 48 strategi serta 111 pelan tindakan yang menyeluruh.l dengan matlamat utama yang digariskan adalah menjana 10 gigawatt kapasiti tenaga boleh diperbaharui dan mencapai campuran tenaga boleh diperbaharui sebanyak 70 peratus menjelang 2030.
Semasa sesi dialog di LSE yang diketuai Premier Sarawak, beliau menegaskan bahawa ia sahaja pelan teknikal tetapi rangka kerja menyeluruh yang merangkumi aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Pelan tindakan ini turut disokong oleh dasar-dasar hijau pelengkap seperti Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dan Peta Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak, yang akan memperkukuh lagi kedudukan negeri ini sebagai hab tenaga bersih serantau.
Para akademik dan pakar yang hadir dalam sesi meja bulat tersebut menyambut baik inisiatif Sarawak, sambil menekankan pentingnya kerjasama antarabangsa dan pertukaran ilmu dalam menjayakan pelan berkenaan.
LSE turut menyatakan kesediaan untuk menyokong pembangunan kapasiti, penyelidikan dasar dan penilaian impak sejajar dengan matlamat blueprint tersebut.
Dengan pelancaran rasmi yang dijadualkan dalam masa terdekat, Sarawak Sustainability Blueprint 2030 dijangka menjadi tonggak utama dalam landskap pembangunan mampan negeri sekali gus memperkukuh peranannya dalam agenda kemampanan serantau dan global.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Eksekutif Pembangunan, Filantropi dan Penglibatan Global LSE, Helen Jones dan Pemangku Pengarah Institut Penyelidikan Grantham Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Giles Atkinson. -TVS