MIRI, 1 Mei: Di sebalik tanggapan segelintir masyarakat yang melihat kerjaya wartawan sebagai pekerjaan picisan atau sekadar “menjaga tepi kain orang”, realitinya wartawan memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang sahih dan beretika kepada orang ramai.
Malahan, masih ramai juga tidak menyedari peranan wartawan yang bekerja berpandukan etika dalam menyampaikan sesuatu berita bahkan mereka tidak pernah mendambakan sanjungan tetapi cukup dengan penghargaan seperti mana pekerjaan yang lain.
Menurut Clare Cinderella, seorang wartawan berpengalaman dari sebuah syarikat akhbar tempatan, tugas wartawan bukan semata-mata menulis di meja berhawa dingin, tetapi turut menuntut komitmen tinggi di lapangan.
Dia bukan sahaja menulis dan menghasilkan berita di pejabat yang berhawa dingin malah ia merupakan tugas yang memerlukannya berada di lapangan.
”Dan antara satu tragedi yang tak dapat saya lupakan, apabila kami membuat liputan mengenai helikopter Bell 206 yang terhempas di Bario, yang mengorbankan Menteri Muda masa itu, Dr Judson Tagal.
“Saya rasa ia adalah pengalaman yang cukup pahit, tetapi mengajar tugas kita, di mana kita sebagai wartawan perlu memberikan fakta yang tepat agar tidak timbul maklumat yang salah dan spekulasi,” katanya.
Bertugas sebagai seorang wartawan di kawasan Utara Sarawak memberi peluang kepada Clare untuk menjadi saksi kepada pembangunan di wilayah ini sehingga menjadi kenangan manis untuknya.
Bagi Clare, jika dahulu meredah jeram dan sungai, mendaki bukit-bukau adalah perkara biasa demi mendapatkan sesebuah berita yang sahih.
Namun kini cabaran yang datang berbeza seiring dengan perubahan zaman.
”Tapi hari ini kita tengok kepada berita-berita media-media sosial, digital. Terlalu banyak portal berita yang ditubuhkan untuk menyampaikan berita. Tetapi adakah berita ini betul-betul sahih ataupun sah? Itu cabaran kita.
“Kerana sebagai wartawan yang sepenuh masa, yang mempunyai etika kewartawanan, cara kita bekerja lain, cara kita bekerja dengan akhbar-akhbar, syarikat-syarikat penerbitan adalah lain, kita perlu berpandu kepada fakta,” ujarnya lagi.
Bersempena dengan Hari Pekerja yang disambut hari ini, Clare berharap agar wartawan turut diberikan penghargaan dan perhatian.
“Orang anggap wartawan adalah kumpulan yang sentiasa sibuk menjaga tepi kain orang, kumpulan yang sentiasa sibuk menjaga tepi kain kerajaan ataupun mana-mana pihak. Tetapi kita tetap bekerja. Kita tetap menerima gaji tetapi itulah yang kita terima.
“Tak ada penghargaan untuk kita, tak ada anugerah kecemerlangan untuk kita, tak ada imbuhan apa-apa untuk kita walaupun kita berada di barisan hadapan yang lebih hadapan daripada kumpulan frontliner ini,” luah Clare.
Hari pekerja disambut pada 1 Mei setiap tahun dan tahun ini ia bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’. – TVS