BAU,1 Mei: Sambutan Hari Bung Bratak yang diadakan setiap 1 Mei di Pusat Warisan Bung Bratak, Bau menjadi medan penyatuan komuniti Bidayuh dari pelbagai daerah dan latar belakang budaya, termasuk komuniti Bidayuh Salako dari Lundu yang turut menyertai meskipun bukan berasal dari kawasan tersebut.
Bagi komuniti Bidayuh Salako dari Lundu yang secara sejarahnya bukan berasal dari kawasan Bung Bratak mengakui perayaan ini tetap membawa makna mendalam, termasuk bagi kumpulan penari Andara Salako Mansang Tarigas (ASMT) dari Kampung Serayan Hulu.
Menurut Pengerusinya, Helizza Ahandi, 41, meskipun komuniti Salako tidak berasal dari kawasan Bung Bratak, mereka tetap sebahagian daripada etnik Bidayuh.
“Memang komuniti Salako bukan berasal dari Bung Bratak, namun asal-usul kami tetap tergolong dalam etnik Bidayuh. Seperti sub-etnik Bidayuh yang lain seperti Jagoi, kami berbeza dari segi dialek bahasa, tetapi pergaulan kami umumnya adalah serupa,” katanya ketika ditemui TVS selepas Hari Bung Bratak 2025 di sini, hari ini.
Senada dengannya, penari ASMT, Jane Ishika, 25, berkata bahawa meskipun terdapat banyak perbezaan antara sub-etnik Bidayuh dari segi dialek dan pakaian tradisional, matlamat mereka tetap sama iaitu untuk melestarikan budaya warisan.
“Bagi kami, komuniti Bidayuh Selako merupakan kelompok minoriti yang hanya terdapat di kawasan Lundu.
“Penyertaan kami dalam sambutan Hari Bung Bratak adalah hasil daripada usaha promosi kumpulan kami yang aktif menjalankan aktiviti kebudayaan di kawasan tersebut,” katanya.
Ujarnya, promosi yang dilakukan oleh kumpulannya menjadi faktor pihak penganjur menjemput mereka bersama menyertai komuniti di Pusat Warisan Bung Bratak (BBHC).
Sementara itu, Pengurus ASMT Kampung Serayan Hulu, Dien Kulis, 55, menyifatkan Hari Bung Bratak sebagai platform penting untuk mengetengahkan komuniti minoriti seperti Bidayuh Salako ke peringkat yang lebih luas.
“Sebenarnya, kalau diikutkan dari segi sejarah, Bung Bratak ini merupakan kawasan asal bagi komuniti Bidayuh Jagoi sahaja, namun begitu, acara Hari Bung Bratak kini turut mengundang penyertaan daripada pelbagai sub-etnik Bidayuh lain termasuk Bidayuh Salako, Biatah dan Bukar Sadong.
“Tujuan utama jemputan ini adalah untuk mempromosikan keunikan budaya masing-masing,” katanya.
Bung Bratak merupakan penempatan awal kaum Bidayuh lebih 700 tahun dahulu dan Hari Bung Bratak yang diraikan setiap 1 Mei telah diadakan sejak 1988 dan telah diisytiharkan oleh Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA). – TVS