SARIKEI, 1 Mei: Tindakan mencurigakan seorang lelaki dan seorang wanita membawa kepada penahanan mereka dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei pada malam Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, dalam serbuan sekitar jam 9.30 malam itu, pihak polis menemui dadah jenis syabu seberat 82.20 gram yang diletakkan di atas meja ruang tamu rumah tersebut.
Menurut beliau, anggaran nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan sebanyak RM9,042, selain sebuah kenderaan pikap turut disita bagi tujuan siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis syabu secara dalam talian sejak awal tahun 2024 di kawasan Sarikei, Meradong, Tanjung Manis dan Belawai,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari di lokap Balai Polis Sarikei mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan.
Dalam masa sama, Aswandy turut menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti berkaitan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing.