KOTA KINABALU, 30 April: Sebanyak 4,385 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan dari 1 Januari hingga 19 April 2025.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr Maria Suleiman berkata sebanyak 83 peratus daripada kes melibatkan kanak-kanak berumur bawah tujuh tahun.
Lima daerah mencatat jumlah kumulatif tertinggi iaitu Kota Kinabalu (705 kes), diikuti Papar (578 kes), Penampang (450 kes), Keningau (431 kes), dan Tawau (262 kes).
“Majoriti kes adalah ringan dan hanya memerlukan rawatan pesakit luar. Tiada kes dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) atau kematian dilaporkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata peningkatan kes turut menyebabkan beberapa sekolah menerima arahan penutupan kelas selepas kluster HFMD dikesan di 10 sekolah, termasuk lima yang melibatkan arahan penutupan.
Katanya, jangkitan banyak dilaporkan berlaku di rumah atau pusat pendidikan awal seperti taska, tadika dan pra-sekolah.
Langkah kawalan telah diambil termasuk siasatan kes, persampelan makmal, promosi kesihatan dan pemeriksaan premis berisiko berpandukan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pemeriksaan ini menilai tahap kebersihan dan keberkesanan disinfeksi terutama dalam populasi berisiko.
Dr Maria turut mengingatkan ibu bapa agar memastikan tahap kebersihan anak-anak terjaga termasuk mencuci tangan dengan sabun selepas menggunakan tandas dan sebelum makan, selain membersihkan mainan serta barangan peribadi secara berkala.
“Cawan, tuala, dan berus gigi tidak boleh dikongsi. Kanak-kanak yang bergejala perlu segera mendapatkan rawatan dan tidak dibenarkan ke pusat jagaan atau tempat awam,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pencegahan HFMD melalui laman infosiihat.moh.gov.my atau Facebook KKM dan JKNS. -TVS