LAWAS, 30 April: Pasukan Sarawak melalui Persatuan Seni Pencak Silat Jalak Tingkor Wilayah Lawas beraksi cemerlang apabila merangkul naib juara keseluruhan Kejohanan Silat Pantai Labuan 2025 yang diadakan pada Jumaat hingga Ahad lepas.
Guru Utama Silat Jalak Tingkor Lawas yang juga Jurulatih Silat Pusat Pembangunan Sukan Pencak Silat Lawas Hamidon Chulim berkata sebanyak 39 pingat berjaya dikutip yang merangkumi 14 pingat emas, 17 perak dan lapan gangsa.
“Seramai 47 pesilat dari Lawas bertanding dalam kejohanan itu dan seorang pesilat kami iaitu Muhammad Khusairi Hafizi Abdullah merangkul gelaran Putra Terbaik Sukma dalam kejohanan itu,” katanya kepada media hari ini.
Dalam pada itu dua pesilat dari Perguruan Silat Pasak Pupohan Limbang merangkul gelaran juara dan membawa pulang pingat emas dalam kejohanan sama.
Gelaran juara dimenangi Aliff Ikhwan Mohamad Noor (Putra Remaja Kelas A) dan Izzuddin Qassam Ahmad (Putra Remaja Kelas C).
Perguruan Silat Pasak Pupohan Limbang turut menghantar seramai lima pesilat untuk mengikuti kejohanan tersebut.
Terdahulu, sebanyak 700 pesilat dari seluruh Malaysia dan Brunei mengambil bahagian dalam Kejohanan Silat Pantai Labuan 2025 yang merupakan penyertaan terbesar dalam sejarah penganjurannya.
Berlangsung dari 24 hingga 25 April di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, kejohanan selama dua hari itu merupakan antara tarikan utama dalam Cabaran Laut Antarabangsa Labuan 2025 (LISC).
Dianjurkan Persatuan Pencak Silat Kebangsaan (Pesaka) Labuan, kejohanan berkenaan menarik penyertaan pesilat pelbagai peringkat umur dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei.-TVS.