Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Ngap Sayot atau Jang bakal julang piala?

KUALA LUMPUR, 10 Sept : Malam ini Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur bakal menjadi medan pertembungan membabitkan dua pasukan teratas , Sarawak United dan Negeri Sembilan untuk membuktikan siapa lebih jaguh dalam kancah Liga Perdana 2021.

Memasuki perlawanan ke-19, aksi 90 minit di Cheras bermula pukul 9 malam dijangka berlangsung dengan cukup sengit kerana keputusan perlawanan juga bakal menjadi penentu pasukan manakah yang akan menjulang trofi Liga Perdana musim ini.

Secara matematiknya, jika Sarawak menang, kiraan mata akan mencecah 40 sekaligus mengulangi kejayaan 2013 serta tidak mampu dicabar lagi oleh Negeri Sembilan yang ketika ini di tangga kedua dengan 35 mata biarpun masih berbaki satu lagi perlawanan untuk diharungi.

Sebaliknya, jika keputusan seri atau kalah, Sarawak perlu menunggu aksi terakhir menentang JDT II sambil mengharapkan skuad Hobin Jang Hobin tidak berjaya melakar kemenangan bertemu PDRM FC pada perlawanan akhir mereka.

Menamatkan 18 perlawanan, Sarawak United kini menduduki tangga teratas dengan mengumpul 37 mata hasil 11 kemenangan, empat seri dan tiga kali kalah dengan terbaharu kepada pasukan ‘adik’, Kuching FC.

Bagi kapten Sarawak United, Taylor Regan, beliau mengakui, perlawanan malam ini sangat ‘besar’ bukan sahaja untuk barisan pemain dan kejurulatihan tetapi juga bagi penyokong skuad Ngap Sayot.

” Kami sangat fokus untuk memenangi piala musim ini sebagai hadiah kepada rakyat Sarawak. Ketika ini, walaupun dibebani pelbagai isu tetapi saya berharap sekiranya menang menentang Negeri Sembilan, ia dapat memberi kegembiraan kepada penyokong selepas sudah lama pasukan tidak beraksi di Liga Super,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Mengulas mengenai mood rakan sepasukannya ketika ini, Regan berkata, mereka sudah melupakan kekalahan pada Selasa lepas.

” Ia perlawanan yang sudah berlalu, mereka (Kuching FC) sangat bermotivasi, kredit wajar diberikan terhadap persembahan yang ditunjukkan, bagaimanapun malam ini adalah perlawanan baharu dan kami sudah bersedia,” katanya.

Sementara itu di kem Negeri Sembilan, pasukan berkenaan juga kini mengintai peluang untuk mencabar kejuaraan selepas turut mengesahkan tempat di Liga Super musim depan.

Pemain pertahanannya, Zulkhairi Zulkeply berkata, beliau dan rakan -rakannya perlu memanfaatkan aksi malam ini walaupun sedar bakal berdepan tugas sukar.

” Pasukan dalam keadaan baik dan bersemangat kerana mempunyai lebih masa untuk membuat persiapan berbanding Sarawak United,” katanya.

Zulkhairi yang berpengalaman beraksi pada playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama Kedah pada tahun lalu berkata, secara dasarnya, mereka menghormati Sarawak yang dibarisi pemain -pemain berkualiti.

” Bagaimanapun, Negeri Sembilan juga ada kelebihan tersendiri , jadi saya ramalkan perlawanan malam ini sengit,” katanya. -TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan