SERIAN, 30 April: Nama dan logo baharu bagi penggabungan tiga agensi utama bekalan air Sarawak telah dimuktamadkan, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi.
Beliau berkata, semua ahli lembaga pengarah bagi entiti yang bakal ditubuhkan itu juga telah dilantik.
“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan nama serta melancarkan penggabungan tersebut pada pertengahan Jun 2025.
“Secara keseluruhannya, dari segi gaji, caruman KWSP dan insentif adalah jauh lebih baik daripada apa yang ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Projek Bekalan Air Sarawak di Loji Rawatan Air Slabi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Julaihi berkata penggabungan itu akan dilaksanakan di bawah pemilikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
“Kita kini berada di peringkat akhir proses penggabungan. Beberapa sesi town hall juga telah diadakan bersama setiap agensi terlibat untuk memaklumkan mengenai skim tawaran yang diberikan.
“Semua kakitangan akan diberi pilihan sama ada mahu menyertai entiti baharu atau meneruskan perkhidmatan sedia ada,” katanya.
Tiga entiti yang terlibat dalam penggabungan itu ialah Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Sarawak Water Sdn Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai LAKU Management Sdn Bhd.