KUCHING, 29 April: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah menganjurkan Program Derma Darah bersempena sambutan Occupational Safety and Health (OSH) Week yang berlangsung dengan jayanya di pekarangan ibu pejabat DBKU hari ini.
DBKU dalam kenyataannya berkata, program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada warga DBKU dan orang awam yang hadir untuk sama-sama menderma darah.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman yang turut serta turun padang bagi memberi galakan dan penghargaan kepada para penderma serta petugas barisan hadapan daripada Pusat Darah Hospital Umum Sarawak (HUS).
Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, di samping memupuk semangat kesukarelawanan serta membantu meningkatkan bekalan darah di hospital.
DBKU mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dan berharap program seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan komuniti.-TVS