Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kekangan kewangan tidak lagi menjadi penghalang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana Kolej Laila Taib (KLT) di Sibu menawarkan bantuan kewangan sepenuhnya di peringkat Diploma kepada anak-anak Sarawak dan individu yang layak. Foto TVS

Belajar di peringkat diploma tanpa beban kewangan di Kolej Laila Taib

SIBU, 2 Mei: Kekangan kewangan tidak lagi menjadi penghalang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana Kolej Laila Taib (KLT) di Sibu menawarkan bantuan kewangan sepenuhnya di peringkat diploma kepada anak-anak Sarawak dan individu yang layak.

Pengurus Pemasaran KLT, Devebra Andira Mawar berkata para ibu bapa dan pelajar yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tawaran tersebut boleh menghadiri KLT Info Day dan Kembara Destinasi Ilmu.

“KLT merupakan sebuah institusi di bawah Yayasan Sarawak, kami akan mengadakan KLT Info Day di kampus pada 3 dan 4 Mei ini. Program ini bertujuan memberi maklumat mengenai bantuan kewangan yang disediakan, termasuk KLT Scholarship dan KLT Bursary, khusus untuk anak-anak Sarawak.

“Selain itu, KLT juga akan mengadakan Kembara Destinasi Ilmu di beberapa lokasi sepanjang Mei. Program ini akan diadakan di Tealive Kapit pada 9 dan 10 Mei, Tealive Sarikei pada 17 dan 18 Mei, serta Boulevard Bintulu pada 24 dan 25 Mei,” katanya kepada TVS.

Selain menyampaikan maklumat mengenai bantuan kewangan yang ditawarkan, program tersebut juga diadakan bagi menyediakan pengambilan pelajar sesi Jun dan Oktober 2025.

Katanya lagi, dalam usaha mendekatkan diri dengan masyarakat, kolej ini juga dibuka setiap Sabtu sepanjang Mei untuk lawatan dan sesi pertanyaan dari ibu bapa serta pelajar.

Sementara itu, bagi para pelajar KLT, selain sokongan kewangan melalui biasiswa penuh dan bantuan daripada Yayasan Sarawak, kolej itu turut menekankan pembelajaran yang seimbang yang membolehkan pelajar memperoleh pemahaman yang lebih mendalam dan aplikasi sebenar dalam bidang pengajian mereka.

Ambrose Lee Herk, seorang pelajar jurusan seni bina berkata pengajian di KLT menekankan pembelajaran praktikal selain teori.

“Ini membantu membina asas yang kukuh dalam bidang yang saya ceburi. Apabila tamat pengajian, saya rasa lebih bersedia untuk melanjutkan pelajaran atau terus memasuki alam pekerjaan,” jelasnya.

Bagi Sophea Dallyn Dinnis, pelajar jurusan perakaunan yang berasal dari Lawas, dia mendapat tawaran KLT Scholarship yang memberi bantuan kewangan seratus peratus.

“Selain itu, KLT juga merupakan sebuah institusi di bawah Yayasan Sarawak yang sentiasa menyokong pelajar dengan pelbagai bantuan kewangan,” ujarnya.

Manakala bagi Nurul Azwa Abdul Rahman, pelajar dari Daro yang kini mengikuti jurusan perniagaan, pengalaman di KLT sangat berharga kerana menawarkan pembelajaran percuma kepada pelajar B40 dan mereka yang memperoleh 3A dalam SPM.

“Apa yang menjadikan KLT lebih istimewa adalah pensyarah-pensyarah yang mudah didekati dan sentiasa bersedia untuk membantu pelajar yang memerlukan. Ini memberi saya keyakinan untuk terus maju dalam pengajian saya,” ujarnya.

Pada masa ini, kolej tersebut menawarkan tujuh program diploma, iaitu perakaunan, pengurusan perniagaan, seni bina, seni bina dalaman, ukur kuantiti, kejuruteraan elektrik dan elektronik serta kejuruteraan awam dengan tempoh pengajian selama dua tahun empat bulan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terkini mengenai aktiviti yang diadakan, orang ramai digalakkan mengikuti media sosial rasmi KLT di Facebook, Instagram, TikTok dan laman web rasmi Kolej Laila Taib di laman sesawang https://klt.edu.my/ -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan