SANDAKAN, 29 April: Dua pelancong warga Perancis yang dilaporkan sesat semasa melakukan aktiviti mendaki di kawasan Rainforest Discovery Centre (RDC) di sini, ditemui dalam keadaan selamat pada Isnin.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi MERS999 pada jam 1.24 tengah hari, sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikerahkan ke lokasi.
“Mangsa, Santarelli Antolne Pierre, 36, dan Girodet Charlene, 36, dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti hiking di hutan RDC.
“Pasukan bomba bersama pihak Ranger RDC bergerak sejauh kira-kira tujuh kilometer dari pintu masuk menggunakan jalan darat untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua mangsa ditemui oleh pihak Ranger RDC pada jam 3.08 petang melalui operasi pencarian menggunakan bot di laluan air berhampiran.
Katanya, bagi keselamatan dan kecekapan, mangsa dibawa ke Kampung Bambangan melalui jalan laut sejauh dua kilometer sebelum dihantar semula ke RDC menggunakan kenderaan Jabatan Perhutanan.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.05 petang.
Operasi turut melibatkan 11 anggota dengan kekuatan logistik sebuah jentera FRT dan satu unit EMRS, selain dibantu oleh pihak Ranger RDC. – TVS