SELANGAU, 29 April: Dua maut selepas terperangkap bawah pikap yang terbabas dan terbalik di dalam parit di Lebuhraya Pan Borneo Jalan Sibu-Bintulu di sini, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Herudin Ealhi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 6.39 petang dengan menggerakkan 10 anggota BBP Tatau dibantu BBP Selangau ke lokasi kejadian.
“Dalam kemalangan kendiri itu mangsa yang maut seorang lelaki, Rolland Atok Eleh berusia 37 tahun dan seorang wanita, Bayan Tubak berusia 60 tahun, seorang lagi mangsa lelaki berusia 35 tahun mengalami kecederaan.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati tiga orang mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut. Seorang mangsa dapat mengeluarkan diri sebelum pihak bomba sampai di lokasi manakala dua lagi mangsa masih dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, anggota bomba bertindak melakukan penyelamatan dengan mengeluarkan dua orang mangsa yang berada di bawah kenderaan tersebut yang terbalik.
“Kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seterusnya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Katanya, pihak bomba melakukan kerja-kerja pembersihan di tempat kejadian dan setelah memastikan keadaan selamat, anggota bertolak balik ke balai. – TVS