CYBERJAYA, 28 April: Kerajaan giat memperkukuh asas ekonomi negara sebagai langkah strategik untuk menangani isu ketidakpadanan pekerjaan mahir dalam kalangan rakyat.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Kee Cheong berkata, inisiatif ini selaras dengan kerangka Dasar Ekonomi Madani yang memberi tumpuan kepada menarik pelaburan berteknologi tinggi ke dalam negara.
“Kita perlukan ekonomi bernilai lebih tinggi untuk membuka lebih banyak peluang kerjaya berkualiti buat rakyat.
“Ia sebahagian daripada usaha kerajaan mengubah corak ekonomi yang telah mendatar sejak tiga dekad lalu. Ini bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam sekelip mata,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Sambutan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia 2025 di Universiti Multimedia Malaysia (MMU), di sini hari ini.
Sementara itu Steven berkata walaupun Malaysia menghasilkan hampir 300,000 graduan setahun termasuk dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pasaran kerja masih belum berkembang seiring dengan keperluan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, kadar pengangguran negara dilaporkan semakin menunjukkan penurunan.
Katanya, data sehingga Februari 2025 merekodkan kadar pengangguran kurang daripada 3.1 peratus, satu pencapaian lebih baik berbanding sebelum pandemik COVID-19. -TVS