KUCHING, 28 April: Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2025 bakal dimeriahkan dengan lima acara utama yang melibatkan pelbagai lokasi di Kuching dan Miri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sambutan bertemakan ‘Segulai Sejalai’ itu akan bermula dengan Bazar Gawai Dayak di MJC Batu Kawa dari 14 hingga 25 Mei, diikuti Rumah Terbuka Gawai Dayak pada 1 Jun di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
“Acara kedua ialah Karnival Gawai Tradisi yang akan diadakan dari 12 hingga 13 Jun 2025 di Bangunan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Malaysia Forum (OMUF) di Miri.
“Manakala acara ketiga ialah Perarakan Gawai Dayak yang dijadual berlangsung pada 21 Jun 2025 di Waterfront Kuching,” katanya pada sidang media Sambutan Hari Gawai Peringkat Sarawak 2025 di sini, hari ini.
Uggah berkata, acara kemuncak iaitu Majlis Makan Malam Gawai Dayak akan diadakan pada 22 Jun dan dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau turut memaklumkan bahawa edisi kali ini akan menyaksikan penerbitan sebuah buku khas bagi mengabadikan sambutan bersejarah itu dan mempromosikan kekayaan budaya Dayak kepada generasi akan datang.
Pada tahun ini, masyarakat Orang Ulu diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2025.