MIRI, 28 April: Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri hari ini bagi meninjau kemajuan operasi pejabat serta tahap penguatkuasaan undang-undang maritim di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, lawatan itu diadakan bagi menilai keperluan kemudahan serta keberkesanan penguatkuasaan di Zon Maritim Malaysia (ZMM).
“Seperti yang kita tahu, pejabat ini adalah kemudahan baharu yang diterima pada lewat tahun lalu. Kami amat mengambil berat tentang kelengkapan prasarana dan operasi penguatkuasaan undang-undang maritim di sini,” katanya kepada pemberita selepas lawatan berkenaan.
Dato Ahmad Nadzri menambah, memandangkan keluasan Sarawak dan saiz Zon Maritim Malaysia di Laut China Selatan, aset-aset maritim sedia ada masih perlu dipertingkatkan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa kerajaan kini sedang dalam proses menyiapkan dua buah lagi Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) untuk memperkasa kawalan keselamatan maritim negara.
“Kita berharap apabila dua OPV baharu ini siap, ia akan membantu memperkukuh operasi penguatkuasaan undang-undang di Zon Maritim Malaysia.
“Ketika ini, Sarawak hanya mempunyai sebuah OPV, manakala dua lagi kapal akan ditempatkan di pantai timur dan pantai barat Semenanjung, sama ada di Kuantan, Langkawi atau lokasi lain,” ujarnya. – TVS