Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pemulihan industri halal antara ciri utama PPN

ByAkma Salleh

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Pemulihan semula industri halal di Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19 akan dijadikan sebagai agenda penting dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sebelum ini, wabak COVID-19 jelas memberi kesan hebat kepada kemeruduman ekonomi global termasuk keperluan terhadap pengeluaran produk halal yang berteraskan farmaseutikal, alat perubatan dan makanan yang berkurangan.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ini kerana industri halal merupakan pemangkin kepada ketahanan ekonomi pasca COVID-19 bukan sahaja di Malaysia bahkan di negara-negara Islam lain secara keseluruhannya.

“Malaysia kini sedang beransur pulih daripada pandemik dan kerajaan komited melaksanakan PPN di bawah semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang mana industri halal adalah ciri-ciri utama dalam pelan PPN,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) dan Platform Bersepadu Halal (HIP) pada Khamis.

Tambahnya lagi, produk berteraskan halal dijangka mampu membawa ciri penting dan menjadi pemangkin melalui kedudukan nilai yang berpelbagai jika pemain industri, terutamanya dalam kalangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), agensi kerajaan, serta usahawan-usahawan mampu bekerjasama menerusi ‘Halal Integrated Platform’ (HIP).

“HIP mengumpulkan penyedia dan pembekal perkhidmatan halal dalam satu platform dan memudahkan seluruh dunia berhubung dan berkomunikasi sesama pemain industri, sehingga memberikan satu daya saing yang sihat untuk sama-sama dimanfaatkan di dalam industri yang sedang berkembang ini,” katanya.

Sehubungan itu, Malaysia juga ujarnya, berhasrat untuk dikenali sebagai pusat kecemerlangan  terkemuka bagi sektor profesional dan latihan halal pada peringkat global dalam membangunkan industri itu berasaskan pengetahuan.

Industri Halal dan sektor kewangan Islam pula jelasnya, adalah penting, untuk bekerjasama dalam mewujudkan ekonomi hala sepenuhnya, sebagai kaedah terbaik untuk saling melengkapi di keseluruhan rantaian bernilai, dan menghasilkan apa yang Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC) nyatakan sebagai patuh Shariah secara menyeluruh.

Persidangan Halal Sedunia, WHBC 2021 merupakan penjenamaan semula yang mensasarkan untuk menjadi peneraju industri Halal kepada wakil kerajaan, pemimpin pendapat, pemain dan pakar industri untuk membincangkan peranan dan sumbangan mereka dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi global.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan