KUALA LUMPUR, 28 Apr: Malaysia akan terus mengeksport getah ke Amerika Syarikat (AS) walaupun berdepan isu tarif timbal balik yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia pada masa sama akan melihat potensi untuk mempelbagai eksport getah negara.
Jelas beliau, nilai eksport getah negara adalah sebanyak AS$37 bilion setahun dengan AS$15 bilion daripadanya adalah sarung tangan getah.
“Kementerian sedang melaksanakan (kepelbagaian eksport). Jadi, kita akan terus membekalkan (getah) kepada AS (walaupun) dengan tarif,” katanya.
Beliau ditemui media selepas hadir Sambutan Jubli Perak dan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Getah Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu, Johari berkata kementeriannya menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan mewajibkan sarung tangan getah yang dieksport adalah produk keluaran tempatan.
Beliau menegaskan syarikat-syarikat luar tidak dibenarkan untuk menggunakan acuan Malaysia untuk mengeksport sarung tangah getah ke AS.
“Apabila kita ingin mengeksport sarung tangan getah, ia mestilah produk buatan Malaysia.
“Malaysia tidak boleh dijadikan (lokasi) penghantaran transit,” katanya. – TVS.