LUNDU, 28 April: Kertas kerja bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf jalan di kawasan pedalaman akan dibentangkan ke Kabinet Negeri Sarawak untuk mendapatkan kelulusan, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata, jalan-jalan bekas laluan balak kini dianggap sebagai jalan kampung dengan kos penyelenggaraan yang rendah.
“Kita telah membuat keputusan bahawa kita akan membuka kepada Kerajaan Negeri untuk naik taraf jalan-jalan tersebut dari jalan kampung kepada jalan negeri.
“Apabila ada naik taraf seperti ini maka peruntukan dari Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang boleh digunakan adalah lebih tinggi iaitu RM3,000 satu kilometer untuk membaikinya,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke projek tapak jambatan Batang Rambungan, di sini, hari ini.
Uggah, yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, berkata keutamaan pada masa ini adalah mengenal pasti jambatan-jambatan yang rosak dan tidak diselenggara dengan baik.
“Kita sudah mengenal pasti jumlah jambatan terlibat serta kos naik taraf jalan tersebut. Kini kita hanya menunggu pembentangan kertas kerja kepada Kabinet untuk kelulusan,” katanya.
Antara kawasan pedalaman yang terlibat dalam projek naik taraf itu termasuk Bintulu, Miri, Kapit, Baram, Belaga, Skrang, Tatau dan kawasan sekitarnya.