BINTULU, 27 Apr: Polis Bintulu menahan enam individu dipercayai terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah pusat hiburan di sini awal pagi tadi yang mengakibatkan kematian seorang lelaki tempatan.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa yang berusia 28 tahun dijumpai dalam keadaan berlumuran darah seterusnya dikejarkan ke Bintulu Medical Centre (BMC) sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Bintulu.
“Ekoran kejadian ini, pihak polis telah menjalankan siasatan dan mengesan suspek yang terlibat.
“Bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya menahan enam orang suspek lelaki masing-masing warga tempatan dan warganegara asing lingkungan umur 40-an di Miri yang dipercayai terlibat di dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak polis berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh 24 jam dan masih mengesan suspek lain yang terlibat.
“Permohonan tahanan reman kesemua suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Bintulu esok.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Nixon menegaskan pihak polis tidak berkompromi ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan perbuatan jenayah.
“Pihak polis komited dalam mengesan suspek yang terlibat di dalam kes ini dan menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang masih dalam siasatan.
“Justeru, kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah tampil dan menghubungi Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304,” tegasnya.-TVS