PETALING JAYA, 27 April: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyambut baik pembukaan Idea Live Arena yang menjadi ruang konsert dan dewan acara tertutup kedua terbesar di Malaysia selepas Axiata Arena, Bukit Jalil.
Ketua pegawai eksekutifnya Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pembukaan dewan dan acara hiburan itu sejajar dengan pengumuman Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (CEMI) iaitu sokongan berbentuk rebat kewangan untuk membantu penganjuran konsert dan acara berskala besar di Malaysia.
“Hari ini FINAS melancarkan lokasi konsert terbaharu dan boleh dikatakan ini merupakan lokasi konsert terbesar dalam pusat beli belah di Malaysia.
“Idea Live Arena boleh memuatkan sehingga 7,000 penonton dan dilengkapi dengan peralatan terbaharu bersesuaian untuk mengadakan konsert, pameran dan sebagainya.
“Kita mengalu-alukan fasiliti begini terutamanya untuk membangunkan industri kreatif negara, tapi bukan saja dari segi hiburan malah pendidikan di mana kita mahu menjadikan Malaysia sebagai hab bagi perniagaan hiburan serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Idea Live Arena, di sini hari ini.
Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Tan Mei Phing.
Sementara itu Azmir berkata, pembukaan ruang acara hiburan itu membuktikan industri kreatif tanah air terus berkembang apabila sudah menerima tempahan yang memberangsangkan daripada penganjur acara.
“Saya dikhabarkan walaupun hari ini adalah hari pelancaran Idea Live Arena, tempahan sudah penuh sehingga hujung tahun.
“Seperti mana kita menggalakkan penonton menonton filem di wayang sama juga dengan industri muzik, kita mahu penonton menikmati muzik di lokasi yang kondusif,” katanya.
Idea Live Arena, yang mampu memuatkan sehingga 5,000 tempat duduk atau 7,000 tetamu dalam susunan duduk dan berdiri, dibangunkan menerusi pelaburan berjumlah RM40 juta membabitkan kerja-kerja naik taraf struktur, pengubahsuaian dan pemasangan sistem teknikal terkini. – TVS.