MUKAH, 27 Apr: Pesta Kaul Mukah menjadi platform masyarakat tempatan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.
Memetik laporan Suara Sarawak, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, sepanjang pesta tersebut berlangsung, masyarakat berpeluang memperkenalkan produk mereka melalui gerai jualan.
“Masyarakat tempatan harus mengambil peluang ini dengan sebaiknya.
“Kita juga berharap lebih ramai pengunjung datang bagi memeriahkan pesta ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Keman Kaul Mukah 2025 di Tapak Pesta Kaul hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah berkata, gerai komuniti semasa Kaul Mukah berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan seni warisan, budaya, dan makanan tradisional.
“Gerai ini melibatkan komuniti Cina, Iban, dan Bidayuh dari daerah Mukah, Oya, Dalat, Matu, Daro dan Balingian.
“Setiap tahun, Pesta Kaul menganjurkan acara hiburan untuk mencungkil bakat tempatan seperti Mukah Kaul Run, Pertandingan Bakat Si Cilik, dan Pertandingan Memasak Iseak A Melanau,” ujarnya.
Bengkel kraf tangan tempatan juga diadakan untuk memberi peluang kepada penduduk dan pengunjung mengenali dan mencuba kraftangan komuniti Melanau.
Pesta Kaul adalah platform untuk komuniti Melanau mempamerkan warisan dan budaya yang unik, meneroka cara hidup masyarakat Melanau dari segi makanan, permainan, tarian dan identiti kaum.-TVS