DARO, 27 April: Nasi lemak yang dijual berhampiran feri Batang Paloh bukan sahaja terkenal dengan keenakannya malah turut mengimbau kenangan zaman persekolahan bagi sesetengah pelanggan setianya.
Hanya mereka yang pernah merasai nasi lemak berbungkus plastik ini memahami betapa istimewanya rasa yang ditawarkan, kini menjadi buruan ramai.
Memetik laporan Suara Sarawak, Penjualnya, Siti Azura Jalil, 32, berkata, dia memulakan persiapan seawal jam 3.00 pagi setiap hari bagi memastikan hidangan tersebut tersedia untuk pelanggan yang melalui pangkalan feri berkenaan.
“Dulu saya menjual nasi lemak ini di dalam feri tetapi sekarang saya berniaga di pondok sementara berhampiran kawasan feri,” katanya.
Menurutnya, walaupun ramuan nasi lemak RM2.00 sebungkus yang dijual cukup ringkas iaitu hanya kacang, telur dan sambal namun sambutannya amat menggalakkan.
“Saya tidak sangka nasi lemak sederhana ini mampu menarik perhatian ramai pelanggan, mungkin kerana rasanya yang mengingatkan mereka kepada zaman sekolah,” ujarnya.
Selain nasi lemak, Siti Azura turut berganding bahu dengan rakannya, Yanti Yusuf, 42, menjual pelbagai makanan lain di gerai kecil mereka.
Antara juadah yang turut ditawarkan ialah mihun goreng, kuih-muih tradisional serta pelbagai makanan ringan untuk memenuhi selera pelanggan.
Kewujudan gerai mereka bukan sahaja memudahkan pengunjung yang ingin mengalas perut malah menjadi pilihan utama bagi mereka yang mencari hidangan nostalgia di Batang Paloh.-TVS