BETONG, 26 April: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan hutan Kampung Supak, Betong, sejak semalam, ditemui selamat petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.35 pagi, sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ke lokasi yang terletak kira-kira 70 kilometer dari balai.
“Mangsa, Jemat Abdullah, 44, dilaporkan keluar ke hutan berhampiran pada pagi 25 April untuk mencari hasil hutan namun tidak pulang ke rumah.
“Keluarganya kemudian membuat laporan polis pada pagi Sabtu selepas usaha mencari awal oleh penduduk kampung tidak membuahkan hasil,” katanya.
Pasukan bomba yang diketuai oleh PBK II Mohamad Hashim Borhan tiba di lokasi pada jam 1.14 tengah hari dan terus mendapatkan maklumat sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama penduduk kampung serta agensi lain.
Bagaimanapun, sekitar jam 2.20 petang, mangsa berjaya ditemui oleh penduduk dalam keadaan selamat pada jarak kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
“Rawatan awal diberikan oleh unit EMRS BBP Betong sebelum mangsa dibawa ke Klinik Spaoh untuk pemeriksaan lanjut,” kata jurucakap itu lagi.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.30 petang.
Misi pencarian turut dibantu oleh dua anggota polis, lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 35 orang penduduk kampung.-TVS