KAPIT, 26 Apr: Komuniti Baleh terus menikmati manfaat menerusi program inklusif anjuran Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan menyaksikan seramai 20 peserta lelaki berjaya menamatkan latihan pembinaan bot gentian kaca yang dijalankan dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).
Naib Presiden Eksekutif Sarawak Energy bagi Penyampaian Projek, Pramod Kumar Karunakaran berkata, program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk memperoleh kemahiran teknikal, malah turut membantu memperkukuh keupayaan ekonomi masyarakat luar bandar.

“Latihan ini mencerminkan komitmen Sarawak Energy untuk membangunkan bakat tempatan dan meningkatkan daya tahan ekonomi. Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menyediakan akses kepada latihan kemahiran dan sokongan komuniti jangka panjang di Baleh.
“Bersama-sama kita akan memastikan manfaat program ini terus dirasai oleh semua generasi Baleh, kini dan akan datang,” katanya setelah menyaksikan pelepasan bot gentian kaca ke Sungai Batang Rajang, hari ini.
Menurut Dr. Nadianatra Musa, wakil Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, program ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknologi komposit yang digunakan dalam pembuatan bot gentian kaca.
“Kami di CENTEXS menyediakan kepakaran teknikal manakala Sarawak Energy memberi fokus kepada pembangunan komuniti. Melalui kolaborasi ini, peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran, tetapi juga berpotensi menjadi usahawan dalam bidang ini,” katanya di Fort Sylvia, Kapit di sini hari ini.
Salah seorang peserta, William Gima, menyifatkan latihan tersebut sangat relevan dengan keperluan masyarakat rumah panjang yang bergantung kepada bot sebagai pengangkutan utama.
“Kursus ini sangat bagus dan bertepatan dengan gaya hidup kami. Kebanyakan bot yang digunakan sekarang diperbuat daripada kayu, sedangkan gentian kaca lebih tahan lama. Kalau pandai gunakan peluang ini, ia boleh jadi sumber pendapatan juga,” katanya.
Bagi Sigat Untam pula, beliau berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan kepada lebih ramai belia tempatan yang berminat menceburi bidang teknikal.
“Harapan saya, latihan seperti ini dapat diteruskan dan jika boleh, diberikan sokongan kewangan untuk kami mulakan sendiri projek pembuatan bot. Kemahiran ini boleh dikembangkan serta dikomersialkan, bukan saja boleh buat bot tapi juga tangka air peralatan dan tekniknya hampir sama,” jelasnya.
Pada majlis sama, program lain yang turut diadakan ialah Program Literasi Awal dan Numerasi Baleh yang dijalankan bersama i-CATS University College dan Yayasan Tun Jugah, yang memberi manfaat kepada 28 individu termasuk kanak-kanak dan dewasa dengan bimbingan fasilitator tempatan, menyokong pendidikan inklusif dan pembelajaran sepanjang hayat. – TVS