KUCHING, 26 April: Aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja perlu diberi perhatian serius bagi memastikan persekitaran kerja yang kondusif dan selamat bagi semua warga kerja.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang, berkata bahawa dengan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan, perlindungan, serta mengamalkan amalan baik dalam rutin harian, kecederaan dan kemalangan berkaitan pekerjaan dapat diminimumkan atau dielakkan sepenuhnya.
Justeru, dengan pendedahan awal seperti penawaran kursus Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) oleh Kolej Cyberjaya Kuching, Lo yakin ia dapat melahirkan tenaga kerja OSH profesional yang akan memainkan peranan mereka untuk memastikan persekitaran kerja yang selamat serta sihat.
“Di Sarawak, perkembangan projek-projek pembinaan semakin rancak dilaksanakan dan di sini kita melihat kepentingan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang dipelajari oleh pelajar jurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ini dipratikkan kelak dan sebagai contoh apabila mereka berkhidmat di tapak-tapak pembinaan projek.
“Mereka bukan sahaja bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan pekerja, malah keselematan keseluruhan tapak projek itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Hari Terbuka Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Kolej Cyberjaya Kuching pada Sabtu.
Ketua Eksekutif Kolej Cyberjaya Kuching, Doreen Tan pula berkata, perkembangan industri pekerjaan merentas pelbagai industri menuntut keperluan dalam melahirkan tenaga kerja profesional termasuklah pegawai profesional OSH, dan program Diploma dalam Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang ditawarkan di Kolej Cyberjaya Kuching ini, menepati piawaian industri semasa.
“Diploma dalam Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang ditawarkan oleh Kolej Cyberjaya Kuching amat menepati garis panduan serta keperluan Akta 514 yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Kami menitikberatkan tiga perkara ketika menawarkan kursus ini, di mana yang pertamanya kami melihat kursus ini menepati Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).
“Keduanya, para pelajar kami akan mengikuti latihan amali selama enam bulan di tempat kerja, jadi mereka akan mempunyai pendedahan kepada industri dan yang ketiganya, kami mempunyai tenaga pengajar yang berpengalaman sebagai pegawai OSH dan ini pastinya memberi kelebihan kepada pelajar kami,” katanya.
Untuk rekod, menurut Statistik Kecederaan dan Penyakit Pekerjaan Negara 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada suku terakhir 2024, Malaysia mencatatkan peningkatan kes kecederaan pekerjaan sebanyak 13.8 peratus dengan jumlah 38,950 kes pada tahun 2023 berbanding 34,216 kes yang direkodkan pada tahun 2022. – TVS