Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Julaihi Narawi bersama pihak LAS ketika melawat tapak projek naik taraf Loji Rawatan Air Salim-Sibu hari ini. Foto TVS

Kemajuan projek naik taraf Loji Rawatan Air Salim Sibu dahului jadual

SIBU, 25 April: Projek naik taraf Loji Rawatan Air Salim – Sibu kini mencatat kemajuan sebanyak 17.96 peratus, iaitu 6.45 peratus mendahului jadual.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata naik taraf loji tersebut akan menggandakan kapasiti pengeluaran air digandakan daripada 150 juta liter sehari (MLD) kepada 300 MLD apabila siap nanti.

“Ini sekali gus memberikan margin simpanan air sebanyak 30 peratus untuk bandar Sibu dan kawasan sekitarnya.

“Kita dapat menyaksikan perkembangan positif sejak projek ini bermula pada Mei 2024. Projek ini bukan sahaja berjalan lancar, malah mendahului jadual,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek di Muka Sauk, Lembaga Air Sibu (LAS), Jalan Stabau, hari ini.

Beliau menjelaskan, projek bernilai RM291 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dengan kos kontrak sebanyak RM269 juta.

Tambahnya, projek tersebut merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan pelaksanaan sistem Grid Air Negeri yang akan menghubungkan semua loji rawatan air di seluruh Sarawak.

Julaihi turut memaklumkan bahawa sistem bekalan air tambahan di Sungai Sadit kini telah siap dan akan membantu menambah margin simpanan air untuk Sibu.

“Ini bukan penyelesaian semalaman. Ia adalah pelan jangka panjang yang sedang dilaksanakan menerusi pelan induk dan sistem Grid Air Sarawak,” tambah beliau.

Untuk rekod, projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dengan jumlah keseluruhan RM291.4 juta, meliputi kos pembinaan, pengambilan tanah untuk laluan paip air mentah, pengawasan tapak, dan yuran profesional sepanjang tempoh pembinaan.

Setelah siap nanti, loji ini dijangka mampu menampung keperluan bekalan air bagi 350,000 penduduk di kawasan Daerah Sibu, Kanowit, Selangau, Maradong dan Rassau sehingga tahun 2036.

Pada masa ini, Sibu bergantung kepada dua loji utama iaitu Loji Rawatan Air Salim (150 MLD) dan Bukit Lima (45 MLD), dengan jumlah kapasiti 195 MLD, manakala permintaan harian mencecah 200 MLD, menyebabkan loji sedia ada beroperasi melebihi kapasiti.

Bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan RM1.1 bilion untuk menggantikan serta menaik taraf paip lama di seluruh negeri melibatkan jarak 2,740 kilometer (km) yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM170 juta diperuntukkan untuk Bahagian Sibu sahaja.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Datu Jafri Lias, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Ir Ts Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan, dan Pengurus Besar LAS Abdul Malik Abdullah.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan