SIBU, 25 April: Sibu International Powerboat Race 2025 mensasarkan seramaiĀ 20,000 penonton membanjiri Tebingan Pulau Li Hua di sini sepanjang tiga perlumbaan itu berlangsung, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Menurutnya perlumbaan kali ini turut mendapat sambutan memberangsangkan dengan sebanyak 276 bot dari pelbagai kategori termasuk penyertaan dari negara jiran Brunei Darussalam.
Tiong berkata penganjuran perlumbaan itu berjaya membuka tirai baharu dalam pembangunan sukan air Sarawak dan berpotensi menjadi acara utama dalam Kalendar Pelancongan negeri.
Pada masa sama, katanya ia jugaĀ membuka peluang kepada generasi muda tempatan untuk mempelajari ilmu serta mendapatkan pendedahan berkaitan sukan air bertaraf dunia.
āApabila lebih ramai peserta luar terlibat, ia akan membuka ruang pertukaran pandangan dan pemahaman mengenai peraturan serta teknik perlumbaan mengikut piawaian global,ā ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Sibu International Powerboat Race 2025 di Tebingan Pulau Li Hua di sini, hari ini.
Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur dan semua agensi yang terlibat kerana berjaya menjayakan acara tersebut dengan komitmen tinggi.
Dalam pada itu, beliau berkata kawasan Tebingan Pulau Li Hua berpotensi dibangunkan sebagai mercu tanda sukan air di Sibu melalui perancangan rapi dan kerjasama pelbagai agensi.
āKita perlu berbincang bersama Pejabat Residen, agensi kerajaan dan NGO tempatan untuk merangka pelan pembangunan infrastruktur dan kemudahan,ā jelasnya.
Beliau turut mencadangkan agar cadangan pembangunan itu dibawa ke peringkat kerajaan negeri dan seterusnya dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan lanjut.
Tiong pada masa sama menasihati peserta agar mengekalkan semangat kesukanan dan mengutamakan keselamatan sepanjang kejohanan berlangsung.
āSaya harap tidak ada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku akibat emosi. Berlumbalah secara profesional,ā tegasnya.
Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, kementeriannya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi membantu menjayakan perlumbaan tersebut.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyalurkan tambahan peruntukan sekiranya ia benar-benar diperlukan selepas perbincangan lanjut dengan pihak terlibat.
āSaya faham kos penganjuran agak tinggi. Kalau betul-betul tidak mencukupi, kita boleh duduk berbincang dan saya akan cuba bantu setakat yang mampu,ā jelasnya.
Beliau turut mencadangkan agar lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil antarabangsa dilibatkan dalam perancangan acara akan datang, termasuk dalam aspek promosi dan strategi pembangunan sukan. – TVS