KUCHING, 24 Apr: Konsert MeleTOP TVS dan Konsert Berkat Gawai-Kaamatan bakal menggegarkan Miri bulan depan.
Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia akan diadakan pada 17 Mei manakala Konsert Berkat Gawai-Kaamatan berlangsung 21 Mei di Stadium Tertutup Miri.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan Konsert MeleTOP TVS akan diadakan pada 17 Mei manakala Konsert Berkat Gawai-Kaamatan pula dijadualkan 21 Mei.
“Dengan barisan artis popular, kami yakin penonton akan teruja dan tidak sabar untuk menghadiri kedua-dua konsert ini,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Konsert MeleTOP TVS dan Konsert Berkat Gawai-Kaamatan di sini, hari ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada TVS dan ASTRO dalam usaha menganjurkan dua acara yang bakal berlangsung bulan hadapan kerana ia dilihat sebagai inisiatif signifikan dalam perkembangan industri kreatif tempatan serta mengetengahkan bakat tempatan.
“Ia merupakan satu kolaborasi yang bagus kerana Sarawak berpengalaman dalam mengendalikan acara besar seperti festival muzik, festival makanan, Sukan Borneo dan Sukan SEA.
“Banyak kertas cadangan berkaitan dengan hiburan yang telah diterima oleh kementerian dan kami masih dalam proses perundingan. Tetapi setelah semuanya muktamad, kami akan membuat pengumuman yang sepatutnya. Memang banyak acara di Sarawak yang akan diadakan tahun ini,” ujarnya.
Karim berkata, keputusan untuk mengadakan kedua-dua konsert di Miri adalah berdasarkan kemampuan Miri yang mempunyai kemudahan diperlukan seperti hotel dan lokasi konsert yang sesuai.
Konsert MeleTOP TVS yang akan berlangsung pada 17 Mei 2025 akan disiarkan secara langsung di TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV dan UnifiTV), Astro ONE serta Sooka.
Ia dimeriahkan lagi dengan artis-artis ternama seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Stacy, Dolla, Floor 88, Namie, dan ramai lagi.
Penaja utama bagi Konsert MeleTOP adalah U-Mobile.
Pada 21 Mei, Konsert Berkat Gawai – Kaamatan akan menampilkan ratu rock negara Ella diikuti Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX, and Marina Jara dari Kalimantan. -TVS