KUCHING, 24 April: Dua pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medamit, Limbang berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Anugerah Inovasi dan Kreativiti Antarabangsa (ICIA) yang akan berlangsung di Universiti Ekonomi, Ho Chi Minh, Vietnam, dari 25 hingga 28 April ini.
Pencapaian itu adalah hasil penyertaan pelajar sekolah berkenaan dalam Think and Thinker (T&T) Mini Lab, sebuah program anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) yang bertujuan memupuk kreativiti, pemikiran kritikal dan inovasi dalam kalangan pelajar luar bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang berkata kejayaan itu membuktikan potensi pelajar luar bandar untuk cemerlang di peringkat global jika diberi peluang dan sokongan yang sewajarnya.
“Pencapaian ini bukan sahaja satu kejayaan buat SMK Medamit, tetapi juga simbol apa yang boleh dicapai apabila kita melabur dalam pembangunan minda muda tanpa mengira lokasi.
“Di TEGAS, kami percaya bakat wujud di mana-mana dan yang penting ialah menyediakan peluang yang sama rata untuk semua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
SMK Medamit memulakan langkah ke pentas antarabangsa apabila muncul juara dalam T&T Mini Lab Battlefield Competition yang diadakan di Kampung Digital TEGAS pada September 2024.
Kejayaan sekolah luar bandar itu turut dilihat selari dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat secara inklusif serta pertumbuhan berasaskan inovasi di seluruh negeri.
TEGAS turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan, sekali gus mengangkat lagi usaha memupuk budaya inovasi dan pendidikan dalam kalangan belia di Sarawak.