KUCHING, 24 Apr: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak bagi mengiktiraf karya penerbitan terbaik di wilayah ini.
Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari dijemput untuk merasmikan anugerah tersebut.
Malah menurutnya, jemputan rasmi telah disampaikan kepada Abang Johari semasa kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
“Tarikh rasmi penganjuran anugerah ini akan diumumkan dalam masa terdekat. Kami memaklumkan kepada Premier Sarawak mengenai penganjuran anugerah ini dan menjemput beliau untuk hadir merasmikannya.
“Anugerah ini memberi perhatian kepada karya berkualiti dari segi kandungan, bahasa dan nilai kesarjanaan serta mencerminkan pembangunan wilayah berkait rapat dengan pembangunan ilmu,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak turut menyokong penganjuran anugerah tersebut menerusi penyediaan geran dan bantuan kepada DBP dalam usaha mengukuhkan ekosistem penerbitan ilmiah.
Pada masa sama, Hazami turut memaklumkan kepada Abang Johari mengenai pelantikan Dr Azizul Ismail sebagai Pengarah DBP Cawangan Sarawak yang bahahu menggantikan Abang Haliman Abang Julai yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP di Kuala Lumpur.
“Dalam kunjungan hormat ini juga, kami membincangkan pelaksanaan kegiatan pengembangan bahasa dan sastera termasuk usaha memperkasa bahasa dan kesusasteraan sukuan di Sarawak.
“Banyak program yang dijalankan menerima sokongan padu daripada Kerajaan Sarawak,” ujarnya.-TVS