GEORGE TOWN, 24 April: Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli menyempurnakan pelancaran Miracle Baby Programme di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.
Program ini merupakan satu inisiatif kesihatan yang bertujuan membantu pesakit jantung kongenital (CHD) yang terdiri daripada bayi dan kanak-kanak di negara ini yang memerlukan pembedahan pembetulan.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Sementara itu, Lukanisman berkata, program ini berperanan penting dalam memberi peluang kepada pesakit jantung kanak-kanak yang tidak berpeluang menjalani pembedahan disebabkan kekurangan pakar bedah jantung pediatrik di negara ini, selain kos rawatan yang tinggi di luar negara.
“Terdapat juga pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan.
“Justeru, program ini ditubuhkan bagi menangani kekurangan tersebut dengan menyediakan pembedahan jantung pembetulan pada kos minimum, sambil melatih serta memperkasakan tenaga kerja perubatan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada majlis perasmian acara berkenaan.
Dari segi misi program tersebut, Lukanisman menyatakan bahawa pada misi pertama yang dilaksanakan pada 2022, seramai 18 bayi dan kanak-kanak telah menjalani pembedahan, manakala semasa misi kedua kali ini, seramai 22 pesakit terlibat.
“Program yang diasaskan oleh Canselor Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Tun Dr Ling Liong Sik, itu mendapat kerjasama daripada HPP.
“Ia turut berkongsi kepakaran dengan sebuah hospital terkenal dunia dalam bidang pembedahan jantung kongenital, iaitu Hospital Sri Sathya Sai Sanjeevani di India yang menawarkan pasukan pakar bedah, pakar bius, pakar pediatrik, dan pakar jantung,” katanya lagi.
Beliau turut menambah bahawa misi program tersebut adalah selari dengan misi kementerian dalam memperluaskan perkhidmatan jantung, apabila kerajaan juga sedang membangunkan sebuah pusat kecemerlangan jantung yang dijangka dibangunkan di Serdang, Selangor. – TVS