KUCHING, 24 April: Sarawak memperoleh pencapaian membanggakan dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 apabila mencatatkan keputusan terbaik berbanding 11 tahun lalu, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli.
Menurutnya, berbanding keputusan SPM 2023, prestasi mata pelajaran utama menunjukkan peningkatan dengan Bahasa Inggeris sebanyak 0.18 mata, Bahasa Melayu (0.17 mata), Pendidikan Islam (0.16), Sains (0.14) dan Matematik (0.05).
Pada sidang media bagi mengumumkan keputusan SPM 2024 peringkat Sarawak di sini, hari ini, beliau berkata selain itu, 821 calon daripada 30,341 calon layak mendapat sijil memperoleh keputusan semua A bagi setiap matapelajaran diduduki.
Turut meningkat, mata pelajaran elektif STEM aliran Sains Tulen iaitu Kimia (0.40), Fizik (0.16), Matematik Tambahan (0.14) dan Biologi (0.07), aliran Sains Gunaan dan Teknologi iaitu Lukisan Kejuruteraan (0.68), PKEE (0.64), Pertanian (0.22), SRT (0.19), Sains Tambahan (0.12), GKT (0.08) dan Sains Sukan (0.07) dan aliran MPV iaitu Kimpalan Arka dan Gas (0.64), Produksi Multimedia (0.42), Kerja Paip Domestik (0.32), Produksi Reka Tanda (0.32), Menservis Pendawaian Elektrik (0.12), Penjagaan Muka dan P.R (0.10) dan Tanaman Makanan (0.04).
Tiga Mata Pelajaran Elektif aliran Kemanusiaan dan Saster Ikhtisas turut mencatatkan peningkatan iaitu Perinsip Akaun (0.26), Pendidikan Muzik (1.68) dan Ekonomi (0.21) sekaligus menjadikan Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2024 yang terbaik sejak 11 tahun lalu
“Saya berbesar hati mengumumkan bahawa gred purata negeri pada tahun 2023 adalah 4.92 manakala gred purata negeri untuk SPM 2024 ialah 4.84.
“Pencapaian calon merujuk kepada sejauh mana calon menguasai pembelajatan kesemua mata pelajaran yang diuji. Indeks digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon yang diuji diseluruh negeri ialah Gred Purata Negeri, tuntasnya GPN.
“Nilai GPN atau Gred Purata Negeri yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik,” katanya lagi.
Tambahnya, beberapa peningkatan turut ditunjukkan dalam matapelajaran elektif aliran Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas iaitu Prinsip Perakaunan, Pendidikan Muzik dan Ekonomi manakala bagi aliran Pengajian Islam pula adalah Manahij Al-Ulum Al-Islamiah, Al-Adab Wa Al-Balaghah, Hifz Al-Quran, Tasawwur Islam, Pendidikan Syariah Islamiah dan Bahasa Arab.
Jumlah calon yang layak menerima sijil SPM juga meningkat pada tahun ini berbanding tahun lalu iaitu seramai 30,341 calon (94.11 peratus) berbanding 30,356 calon ( 93.15 peratus). – TVS