KUCHING, 25 April: Nama Gabriel Nistelrooy Tamin kini meniti di bibir peminat bola sepak tanah air selepas mencipta sejarah sebagai pemenang Kasut Emas dan Pemain Terbaik Piala MFL pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024/2025.
Anak jati Miri, Sarawak ini memukau peminat bola sepak tempatan dengan 24 jaringan sepanjang musim menjadikannya penyerang paling tajam dalam saingan liga.
Namun kini timbul satu persoalan besar ke mana hala tuju Gabriel selepas ini?
Adakah beliau bakal diserap ke skuad senior Johor Darul Ta’zim (JDT)? atau kekal sebagai ayam tambatan JDT II untuk terus mengasah bakat dan memberi impak besar dalam pasukan pembangunan itu?
Atau mungkin juga akan dipinjamkan ke kelab lain demi mendapatkan minit permainan lebih kompetitif?
Sekiranya Gabriel dinaikkan ke pasukan utama, beliau akan berdepan saingan sengit dengan mesin gol import, Bergson da Silva.
Untuk menyaingi dan mencabar tempat penyerang berpengalaman itu bukanlah mudah, namun jika diberi peluang, ia mampu mempercepatkan kematangan Gabriel di pentas tertinggi Liga Malaysia.
Namun begitu, dengan sistem penggiliran yang kerap diamalkan JDT dan aksi padat dalam pelbagai kejohanan, peluang tetap terbuka, apatah lagi Gabriel memiliki kelebihan dari segi penyudah dan ketajaman di depan gawang.
Jika dikekalkan bersama JDT II, Gabriel berpeluang untuk terus menjadi tonggak utama namun persoalannya cukupkah cabaran dalam liga kelas kedua itu untuk menguji had sebenar kemampuan beliau?
Bagi seorang pemain muda yang sedang berada di kemuncak prestasi, keputusan untuk kekal mungkin perlu dipertimbangkan secara teliti agar tidak menyekat potensi yang sedang berkembang pesat.
Antara pilihan paling menarik ialah pemindahan secara pinjaman ke kelab Liga Super lain.
Dalam hal ini, pasukan Kuching City FC disebut-sebut sebagai destinasi yang paling sesuai bukan sahaja kerana faktor negeri kelahiran Gabriel tetapi juga kerana pasukan itu sedang dalam proses pembinaan semula dan memerlukan penyerang muda berprofil tinggi.
Di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman seperti Aidil Sharin Sahak, Gabriel boleh memperoleh minit permainan yang lebih konsisten di pentas utama.
Di media sosial, peminat mula berteka-teki tentang langkah seterusnya buat Gabriel.
Ada yang mahukan beliau kekal di JDT untuk “belajar daripada yang terbaik,” manakala ada yang menyarankan langkah berani dengan menyertai kelab lain.
Kesimpulannya, apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh pengurusan JDT terhadap Gabriel Nistelrooy Tamin, satu perkara pasti beliau kini berada di landasan yang tepat untuk menjadi ikon bola sepak masa depan negara.-TVS