Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidifitri di Kampung Semop, Pulau Bruit, baru-baru ini. Foto UKAS

RM13.7 juta diperuntuk bina pasar tamu, medan selera dan dewan besar di Pulau Bruit

SARIKEI, 23 April: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol mengumumkan peruntukan RM13.7 juta bagi membina tiga kemudahan awam baharu di Pulau Bruit, dalam usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.

Menurut jurucakap Pusat Khidmat DUN Semop, RM6.5 juta telah diluluskan bagi pembinaan pasar tamu dan medan selera baharu yang akan dibina berhampiran kawasan Skim Perumahan Nelayan di Pusat Pertumbahan Desa (RGC) Semop.

“Pasar tamu dan medan selera ini dijangka menjadi pusat tumpuan baharu penduduk untuk menjalankan aktiviti jual beli hasil laut dan pertanian tempatan. Ia juga bakal menyediakan ruang niaga yang lebih tersusun serta bersih untuk para peniaga kecil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan tambahan RM7.2 juta turut diluluskan bagi pembinaan sebuah Dewan Besar Masyarakat Pulau Bruit yang moden dan serba guna.

“Dewan besar ini bakal digunakan untuk pelbagai acara termasuk mesyuarat penduduk, majlis keramaian, aktiviti belia serta program kerajaan yang melibatkan masyarakat setempat,” tambahnya.

Projek-projek ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan sepanjang tempoh pembinaan dan selepas siap dibina, terutamanya dalam sektor perniagaan makanan, kraftangan, serta perkhidmatan.

Dalam masa yang sama, ia dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi luar bandar serta menyokong inisiatif kerajaan dalam membangunkan kawasan luar bandar secara inklusif dan mampan.

Abdullah turut menzahirkan harapan agar projek ini dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat Pulau Bruit serta memupuk semangat muafakat dalam kalangan penduduk melalui kemudahan yang lebih kondusif.

Pihak Pusat Khidmat DUN Semop akan memantau perkembangan projek ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan