KUCHING, 22 April: Sarawak cipta sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan dasar dan pelan induk pemerkasaan biodiversiti secara menyeluruh, mengintegrasikan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam perancangan pembangunan negeri.
Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi berkata, pelancaran dasar dan pelan induk ini merupakan satu detik penting dalam perjalanan Sarawak ke arah pembangunan lestari.
“Sarawak kini berada di barisan hadapan dalam memperkenalkan pendekatan yang mengintegrasikan aspek biodiversiti ke dalam strategi pembangunan.
“Kita merupakan negeri pertama di Malaysia yang memperkukuh inisiatif ini melalui dua pendekatan utama; pemerkasaan biodiversiti dan pendekatan seluruh kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar dan Pelan Induk Biodiversiti Sarawak di sini, hari ini.
Pelancaran itu disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, pemerkasaan biodiversiti yang ditakrifkan oleh Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) menyeru agar biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem diambil kira secara serius dalam dasar dan amalan pembangunan.
Pendekatan menyeluruh kerajaan yang diterima pakai dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) pula, menekankan kerjasama antara agensi dan kementerian dalam menangani isu biodiversiti secara menyeluruh dan berkesan.
“Dasar dan pelan induk yang dilancarkan malam ini mencerminkan prinsip-prinsip tersebut. Namun, dasar semata-mata tidak memadai. Kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada kerjasama rapat daripada pelbagai pihak, merangkumi sektor pembangunan, pelaku ekonomi dan semua pihak berkepentingan,” tegasnya.
Abdullah turut menjelaskan bahawa proses pembangunan dasar ini tidak diserahkan kepada perunding swasta, sebaliknya ia merupakan hasil kolaborasi kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri, dengan penglibatan aktif pihak berkepentingan.
Tambahnya, tiga bengkel utama telah diadakan di Kuching dan Miri bagi membentuk rangka kerja pelaksanaan, termasuk penggubalan dasar, dokumen pelan induk, dan penubuhan jawatankuasa pemantauan.
Sarawak juga menyasarkan penyelarasan dan pengoptimuman dasar serta inisiatif berkaitan biodiversiti secara dalaman, seiring perubahan landskap pembangunan global yang kini lebih tertumpu kepada sokongan dasar dan strategi berbanding bantuan fizikal.
“Bantuan antarabangsa kini menumpukan kepada dasar lestari dan perancangan strategik. Kita perlu menerima naratif baharu ini dengan terbuka dan menyesuaikan pendekatan pembangunan kita,” ujarnya. – TVS