KUCHING, 22 April: Kerajaan Persekutuan diseru mengambil inspirasi daripada Kerajaan Sarawak dalam memperkenalkan pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya di Semenanjung Malaysia.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menzahirkan kekaguman terhadap dasar pendidikan Sarawak yang disifatkan sebagai progresif dan berpandangan jauh.
Beliau berkongsi keterujaannya apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tum Openg, memaklumkan bahawa kerajaan negeri menyediakan pembiayaan penuh bagi pendidikan tinggi anak-anak Sarawak.
“Inilah ruang yang sepatutnya ditunggu-tunggu oleh anak-anak Sarawak dan apatah lagi Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mendahului dalam bidang teknologi serta keupayaan menjana tenaga.
“Anak-anak Sarawak, khususnya golongan wanita, harus mengambil peluang yang diberikan untuk melengkapkan diri mereka menjadi teknokrat, saintis, individu inovatif dan sebagainya, terutamanya dalam bidang tenaga,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pembukaan Mesyuarat Women Parliamentarians of AIPA (WAIPA) di Damai Lagoon Resort, hari ini.
Menurutnya, dasar tersebut bukan sahaja membuka laluan kepada lebih ramai generasi muda untuk mengubah masa depan mereka, malah turut menyumbang kepada pembangunan negara dalam bidang-bidang kritikal seperti tenaga, sains dan teknologi.
Akhir bulan lepas, Kabinet Sarawak telah meluluskan kertas cadangan bagi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Pelaksanaan FTES Sarawak ini akan bermula pada 2026 dan terbuka kepada rakyat Sarawak. – TVS